Wang Bukan Satu Matlamat? Oktober 23, 2008
Posted by shukor in Mentor Jutawan,Motivasi Jutawan, Tips Perniagaan, Bisnes Internet.add a comment
Anda pasti tidak mahu mendengar orang lain bercakap tentang tajuk di atas. Kebanyakan orang beranggapan “saya mahu mendapat wang yang banyak. Tidak kira macam mana sekalipun”.
Terus-terang saya katakan hendak memiliki wang yang banyak bukanlah satu matlamat.
Ya, bukan satu matlamat!
Wang hanyalah alat yang membantu anda untuk mengawal destinasi anda. Oleh itu, anda akan hidup dalam kehidupan yang anda mahukan dan mencapai matlamat anda.
Dunia di sekeliling anda memberikan anda tanggapan yang wang adalah kunci kepada kehidupan yang bahagia.
Berhenti dan fikirkan sejenak…
Berapa banyak orang kaya, artis-artis atau orang kaya yang menang loteri yang anda tahu?
Jarang sekali…wang hanya membantu anda mendatangkan masalah! Wang bukan membawa kebahagiaan. Kebanyakan orang mengalami kesengsaraan disebabkan terlalu cintakan wang.
Ambil masa dalam beberapa saat dan fikirkan tentang perkara tersebut…
Fikirkan yang wang hanyalah sebagai alat, satu alat yang boleh anda gunakan untuk mencapai cara hidup yang anda kehendaki.
Baiklah, apa yang dimaksudkan dengan cara hidup?
Cara hidup anda mungkin:
- Anda mahu bekerja hanya 3 hari seminggu atau
- Anda mahu pergi bercuti selama 8 minggu setahun atau
- Anda mahu bekerja separuh masa supaya anda boleh menjadi jurulatih pasukan bola anak anda.
- Anda mahu menjadi sukarelawan kerana anda rasa ia amat penting atau
- Anda mahu membantu anak anda di perpustakaan sekolah dan menjadi sukarelawan di sana.
Semua ini adalah pilihan dalam cara hidup.
Wang yang dapat membantu anda mencapai cara hidup yang anda mahukan!
Jangan fokus kepada cara untuk mendapat wang dalam jumlah yang tertentu, tetapi fokus kepada cara bagaimana untuk meletakkan hidup anda dalam posisi yang tertentu, dan wang dapat membantu anda melakukan perkara itu.
Saya tahu pendapat saya ini jarang didengar dan bertentangan dengan pendapat majoriti, tetapi ini merupakan prinsip asas orang-orang yang berjaya, dihormati, dan pemilik perniagaan yang cemerlang.
Oleh itu ingatlah: Wang bukanlah kunci kepada kebahagiaan, tetapi membantu anda mengawal dan mencapai matlamat hidup anda.
Selamat beramal!
Terapi Solat Oktober 21, 2008
Posted by shukor in Berita Terkini, Tips Perniagaan, Bisnes Internet.add a comment
KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.
Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.
Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.
Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.
Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.
Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.
Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.
Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.
Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.
“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.
Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.
Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
Sumber: Berita Harian
Apa kelebihan solat dari segi perniagaan pula? Renung-renungkan dan selamat beramal!






